Ceramah Keusahawanan Kepada Pelajar-Pelajar Tahun 11 di SMCH,BSB
Posted by: admin | Posted on: June 14, 2017
Sekolah Menengah Chung Hwa, BSB mengadakan sesi perkongsian dalam bidang keusahawanan kepada pelajar-pelajar Tahun 11. Ceramah disampaikan oleh Encik Howard Khoo, usahawan terkenal dan berjaya dari Malaysia. Encik Khoo disertai oleh Encik Stephen Ong Teck Soon, salah seorang ahli Lembaga Pengarah Sekolah Menengah Chung Hwa bersama dengan Datin Jacqueline. Penceramah telah disambut oleh pengetua sekolah, Puan Kho Guik Lan dan Penolong pengetua Cikgu Tan Been Tiem.
Sesi perkongsian selama dua jam itu diadakan di Dewan Kuliah Ong Tiong Oh. Tujuan ceramah adalah untuk mempromosikan semangat keusahawanan di kalangan pelajar SMCH.
Dalam sesi perkongsian tersebut, Encik Howard Khoo berkongsi pandangan dan pengalaman peribadinya sebagai seorang usahawan dengan para pelajar. Di samping itu, beliau juga berkongsi perjalanan keusahawanannya dan bagaimana beliau menggunakan prinsip perniagaan pintar untuk berjaya dalam menguruskan perniagaannya.
Encik Howard Khoo berasal dari latar belakang keluarga yang sederhana. Beliau dilahirkan dan dibesarkan di Sandakan, Sabah. Pada tahun 1988, beliau mewarisi syarikat pakaian bapanya, Hing Yiap. Pada tahun 1997, beliau berjaya menjadikan syarikat itu sebuah syarikat yang tersenarai dalam syarikat awam. Pada tahun 2011, beliau memindahkan syarikat itu kepada orang lain dan memberi tumpuan dalam industri pendidikan. Pada bulan April 2017, beliau menerbitkan buku baru yang bertajuk, “Jalan Menuju Kejayaan Dalam Perniagaan”, dan kini dia seorang penulis, pendidik dan pensyarah.
Encik Howard Khoo juga berkongsi ciri-ciri seorang usahawan yang berjaya, seperti kemampuan mewujudkan rangkaian yang kuat; toleransi terhadap risiko; pandai menyesuaikan diri dengan keadaan semasa dan bijak menghadapi sikap yang tidak dijangka serta sentiasa bersikap positif.
Beliau mengakhiri perkongsiannya dengan memberi beberapa cadangan dan memberi gambaran tentang trend perniagaan baru dalam rangkaian, produk halal dan industri perkhidmatan. Beliau menambah bahawa usahawan hari ini perlu dapat bersaing di peringkat antarabangsa, dan berfikir secara global.
Sesi perkongsian tersebut berakhir dengan pertukaran cenderamata. Penceramah telah menyampaikan cenderamata berupa buku baru yang dihasilkan oleh beliau. Seterusnya semua yang hadir bergambar ramai dengan penceramah.
![]() |
![]() |
| ▲ Para pelajar bergambar ramai dengan penceramah, Encik Howard Khoo, pengetua dan guru-guru | ▲ Encik .Howard Khoo sedang menyampaikan ceramah beliau |
![]() |
![]() |
| ▲ Encil Howard Khoo menyampaian buku baru yang dihasilkan oleh beliau kepada pengetua, puan Kho Guik Lan | ▲ Para pelajar Tahun 11 memberi sepenuh perhatian ketika ceramah disampaikan oleh Encik Howard Khoo |









Comments are Closed