Sekolah Menengah Chung Hwa,BSB Mengadakan Latihan Kecemasan Kebakaran

Posted by: | Posted on: July 27, 2018

Pada 5 Julai 2018, Sekolah Menengah Chung Hwa, Bandar Seri Begawan telah mengadakan latihan kebakaran untuk meningkatkan kesedaran dalam kalangan pelajar mengenai langkah-langkah keselamatan semasa menghadapi kebakaran. Latihan kebakaran ini adalah aktiviti tahunan yang diadakan oleh pihak sekolah untuk menjamin keselamatan pelajar ketika berlaku kecemasan.

Latihan ini bertujuan untuk meningkatkan kesedaran guru-guru dan pelajar-pelajar untuk menyelamatkan diri apabila berlakunya kecemasan atau bencana alam. Melalui latihan kecemasan kebakaran, para pelajar akan memperoleh pengetahuan tentang pentingnya mengetahui prosedur keselamatan.
Apabila siren dibunyikan pada pukul 8.40 pagi pada hari latihan tersebut, semua pelajar dan guru termasuk kakitangan pentadbiran mengikut laluan menuju ke padang dengan teratur. Masa purata yang digunakan ialah 3 minit 8 saat. Semua pelajar berbaris di padang dan guru dikehendaki mengira jumlah pelajar kelas masing-masing agar tiada pelajar yang tertinggal. Pelajar yang bertugas untuk mengawasi proses latihan tersebut meninggalkan bangunan itu setelah pelajar terakhir telah keluar dan selamat dari bahaya.

Pengetua Sekolah Menengah Chung Hwa, Dayang Kho Guik Lan telah menegaskan bahawa pentingnya untuk warga sekolah mengetahui laluan kecemasan untuk keselamatan diri. Dengan menjalani latihan kecemasan kebakaran sedemikian, diharapkan juga pelajar dapat bertindak dengan tenang dan tidak panik semasa menyelamatkan diri. Menurut beliau, latihan kebakaran diadakan setiap tahun di sekolah ini untuk memberi kesedaran kepada para pelajar tentang ‘keselamatan’ harus diutamakan di sekolah.

Akhirnya, latihan kecemasan kebakaran telah mencapai matlamatnya dan pelajar mempunyai kesedaran tentang prosedur menyelamatkan diri apabila kecemasan berlaku.

▲ Murid-murid Tadika menutup mulut dan hidung mereka semasa latihan kebakaran diadakan. ▲ Guru subjek melaporkan bilangan pelajar yang berada dalam keadaan selamat kepada Pengetua sebagai salah satu prosedur semasa latihan kebakaran diadakan。
▲ Pengetua sekolah mengambil berat tentang keselamatan murid-murid Tadika. ▲ Para pelajar berjalan balik ke kelas masing-masing selepas latihan kebakaran selesai.




Comments are Closed