Mesej daripada Pengerusi Lembaga Pengarah Sekolah

 

Sekapur sirih

Sekolah Menengah Chung Hwa, Bandar Seri Begawan mencatatkan satu lagi sejarah pada tahun 2016 dengan pencapaian yang lebih tinggi dan berjaya meningkatkan reputasinya dengan beberapa kejayaan yang dicapai pada tahun ini.

Lembaga Pengarah Sekolah memulakan satu siri pembaharuan dan reformasi dalam membentuk semula lanskap pendidikan sekolah. Usaha tersebut akhirnya telah membuahkan hasil dengan kejayaan Sekolah Menengah Chung Hwa, Bandar Seri Begawan muncul sebagai sekolah yang disanjungi dan dikagumi dalam kalangan ibu bapa dan para pendidik.

Saya berasa sangat gembira dapat menyaksikan jejantas baru di Jalan Tasek yang telah disiapkan pada tahun ini. Jejantas tersebut adalah tajaan saya sepenuhnya tanpa menggunakan wang sekolah atau orang awam. Jambatan ini bukan sahaja menyediakan satu laluan pejalan kaki yang selamat dan cepat untuk para pelajar menyeberang jalan yang sentiasa sibuk, malah juga merupakan satu peristiwa penting bagi sekolah yang mengutamakan keselamatan para pelajar.

Ahli-ahli Lembaga Pengarah Sekolah telah berusaha untuk meningkatkan persekitaran pembelajaran yang lebih berkesan dengan melaksanakan pembelajaran merentasi kurikulum. Sekolah ini menyediakan pendidikan yang berkualiti dengan membantu para pelajar untuk menjadi lebih kreatif dan mengamalkan kolaborasi untuk mencapai objektif pembelajaran dalam persekitaran yang tenang, bersih dan harmoni.

Saya berasa amat bersyukur kerana kita hidup dalam masyarakat yang makmur, aman dan stabil. Semua ini adalah hasil daripada kebijaksanaan pemimpin kita, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam. Saya juga ingin memetik titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan sempena sambutan hari Keputeraan baginda yang ke-69 tahun pada 15 Ogos 2015. Antara lain titah baginda adalah seperti berikut.

“Setiap perubahan atau perkembangan dunia, biasanya turut dirasakan bahangnya oleh semua pihak, termasuk juga kita di negara ini, kerana kita juga adalah sebahagian daripada warga dunia itu. Bahang tersebut meliputi sudut-sudut sosiopolitik, sosioekonomi dan sosiobudaya. Kewajipan kita dalam menghadapi bahang seperti ini, supaya tidak gelabah, tetapi perlu untuk banyak-banyak bertenang dan bersikap lebih bijaksana. Jika kita bertindak, maka bertindaklah dengan cara kita, seperti juga kalau berfikir, maka berfikirlah dengan cara kita orang-orang Brunei berfikir, tanpa perlu meniru-niru cara orang lain. Yang penting, kita menangani sebarang impak perubahan dan perkembangan itu, ialah dengan cara realistik dan pragmatik, bagi mempastikan semuanya adalah tetap kukuh dan stabil.”

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam juga bertitah bahawa “Dalam ekonomi, satu asas penting untuk dimiliki ialah kebolehan kita merebut peluang. Peluang itu biasanya hanya sekali. Ia jarang berulang. Jika kita tidak merebutnya, kita akan ditinggalkan jauh begitu saja.”

Sejajar dengan misi sekolah yang ingin menerapkan nilai-nilai ketimuran yang kukuh dalam diri setiap pelajar di samping cemerlang dalam pencapaian akademik dan sukan, serta berkeyakinan untuk cemerlang dalam kerjaya masa depan maka Sekolah Menengah Chung Hwa, BSB telah menggalakkan pelbagai kaedah pembelajaran yang melibatkan penggunaan ICT. Dalam hal ini, sekolah telah mengamalkan kaedah pembelajaran “Flipped classroom” yang membolehkan pelajar-pelajar membuat pesediaan awal dengan bahan-bahan yang dikongsikan oleh guru-guru mereka di atas talian di samping dapat membantu para pelajar membuat ulangkaji berulang kali mengikut tahap kemampuan masing-masing.

“Flipped classroom” adalah salah satu kaedah yang digunakan di Sekolah Menengah Chung Hwa untuk menyediakan pendidikan yang terbaik kepada para pelajar agar sekolah ini menjadi sekolah pilihan utama di Brunei. langkah-langkah lain yang dijalankan adalah seperti melantik penasihat pendidikan , membentuk ruang kelas interaktif dan menggabungkan e -learning dalam pelajaran normal. Semua usaha ini dilaksanakan untuk menempatkan sekolah ini pada satu tahap yang lebih tinggi.

Sekolah ini selalu memberi penekanan pada integrasi ICT dalam pembelajaran supaya para pelajar lebih tertarik untuk belajar melalui platform yang berbeza. Sekolah ini terkenal kerana pendekatan holistik terhadap pendidikan dalam merealisasikan visi sekolah untuk mengembangkan kemampuan beradaptasi , daya saing dan keterampilan diri . Ini bertujuan untuk melahirkan lebih ramai pelajar yang bakal menjadi pemimpin pada masa depan yang akan menyumbang kepada kemajuan Brunei dan Asia Tenggara .

 

Ong Tiong Oh

Pengerusi Lembaga Pengarah Sekolah

Sekolah Menengah Chung Hwa, BSB