Mesej daripada Pengetua

OCT_1362

 

Pelajar-pelajar Sekolah Menengah Chung Hwa telah mencapai keputusan yang cemerlang dalam bidang akademik dan kokurikulum. Kejayaan ini membuktikan bahawa sekolah ini telah menyediakan pendidikan yang berkualiti dan berkesan di samping para pelajar di sekolah ini telah berusaha dengan gigih serta mendapat sokongan daripada ibu bapa sekalian. Pencapaian yang cemerlang ini, sudah tentu dapat menyumbang kepada hasrat kerajaan untuk mencapai Wawasan Brunei 2035 ke arah menyediakan pendidikan yang berkualiti seperti yang digariskan dalam Sistem Pendidikan Negara Abad ke-21.

Sesungguhnya, seluruh warga sekolah berasa bangga dengan pencapaian dan penglibatan para pelajar dalam kegiatan di peringkat negara dan antarabangsa. Pencapaian dan penglibatan para pelajar ini telah mengharumkan nama sekolah dan menempatkan sekolah ini sebagai institusi pendidikan yang terkenal di negara ini.

Memang tidak dapat dinafikan bahawa perubahan diperlukan untuk menjamin peningkatan yang berterusan. Sekolah ini sentiasa bertindak mengikut tuntutan semasa dengan membuat pembaharuan untuk meningkatkan kualiti pendidikan. Pada tahun ini, Sekolah Menengah Chung Hwa mencatatkan kejayaan penting yang merangkumi penyediaan kemudahan-kemudahan pendidikan, pembangunan perisian, penggunaan ICT (Teknologi Maklumat dan Komunikasi) yang lebih berkesan dalam pembelajaran dan pelaksanaan pedagogi yang bersesuaian. Sebagai contoh, sekolah ini telah menggunakan pelbagai kaedah pendidikan yang berkesan dan penglibatan aktif para pelajar untuk mewujudkan suasana pembelajaran yang lebih berkesan.

Selain itu, pihak sekolah akan melakukan yang terbaik untuk membantu Negara Brunei Darussalam merealisasikan Wawasan Brunei 2035. Sekolah ini akan melahirkan lebih banyak pelajar yang cemerlang dan dapat menyumbang kepada pembangunan negara ini. Usaha seperti ini juga selaras dengan misi sekolah untuk menyediakan pendidikan yang berkualiti dengan memberi penekanan yang sama ke atas pembelajaran bahasa Cina, bahasa Inggeris dan bahasa Melayu mengikut keperluan masyarakat di negara ini. Dalam usaha untuk merealisasikan hasrat ini, sekolah ini sedang bekerjasama dengan banyak institusi pendidikan antarabangsa yang terkenal dan telah menerima pelbagai pengiktirafan. Satu contoh yang jelas ialah sekolah ini telah dianugerahkan sebagai “Sekolah Contoh Microsoft” yang pertama di Brunei bagi tahun 2014-2015. Pada tahun ini, sekali lagi sekolah ini telah dianugerahkan sebagai “sekolah contoh Microsoft” buat kali kedua bagi tahun 2015-2016. Anugerah ini mencerminkan kedudukan sekolah yang mengutamakan penggunaan teknologi pendidikan Microsoft yang terkiri dalam pengajaran dan pembelajaran.

Sekolah ini menjadi perintis dalam penggunaan pedagogi yang melibatkan penggunaan ICT dalam setiap aspek pengajaran dan pembelajaran. Dalam hal ini , seluruh sekolah kini dilengkapi dengan kemudahan WiFi. Dengan ini membolehkan guru-guru melaksanakan pembelajaran jarak jauh dan penggunaan skype yang melibatkan para pelajar dari dua bilik darjah bertemu di talian maya. Usaha ini membolehkan para pelajar Sekolah Menengah Chung Hwa mengikuti pengajaran dan pembelajaran tanpa dibelenggu oleh batasan geografi. Penggunaan aplikasi Microsoft memberi ruang kepada para pelajar untuk belajar di mana-mana sahaja dan pada bila-bila masa sahaja dengan menggunakan teknologi pendidikan yang terkini.

Kejayaan cemerlang dalam teknologi pendidikan juga memudahkan pedagogi baharu yang dipanggil ” Flipped Classroom ” dilaksanakan di sekolah ini. Melalui kaedah ini, para pelajar mempunyai kebebasan untuk belajar melalui bahan-bahan pengajaran yang dimuatnaikkan di talian mengikut tahap kemampuan masing-masing dan pada bila-bila masa sahaja. ” Flipped Classroom ” akan disesuaikan dengan menggantikan pengajaran tradisioanl yang agak membosankan. Kaedah baharu ini memberi asas yang kukuh kepada para pelajar untuk meningkatkan prestasi mereka dengan lebih pesat . Sekolah ini juga telah menunjukkan kemajuan yang pesat melalui penggunaan alat-alat pembelajaran yang berkesan dan berkualiti tinggi. Saya yakin bahawa pelajar-pelajar sekolah ini akan menunjukkan daya kepemimpinan yang tinggi dan menjadi insan yang berkaliber di dalam persekitaran yang inovatif dan kondusif.

Selaras dengan pembaharuan ini, sekolah ini bercadang untuk menggunakan teknologi yang terkini yang melibatkan para pelajar secara aktif dan meningkatkan kejayaan mereka dalam mengejar kecemerlangan. Remaja pada masa kini menghadapi cabaran besar dalam masyarakat yang lebih mementingkan kebendaan dan secara perlahan-lahan menghakis nilai-nilai moral mereka. Oleh itu, sekolah ini berfungsi sebagai benteng yang kukuh untuk melindungi dan memupuk nilai-nilai moral yang tinggi dalam kalangan para pelajar. Dalam erti kata lain , usaha yang dilakukan oleh sekolah ini bertujuan untuk melahirkan para pelajar yang mematuhi undang-undang , amanah dan beriltizam yang akan menjamin kesejahteraan dan kemajuan negara pada masa depan.

Akhir sekali , Sekolah Menengah Chung Hwa, BSB berharap para pelajar mempunyai keazaman yang tinggi untuk terus menimba ilmu selagi hayat dikandung badan. Pembelajaran seumur hidup harus diteruskan walaupun sudah menceburi bidang pekerjaan. Sekolah ini juga percaya bahawa budaya dan nilai-nilai ketimuran harus sentiasa dijaga agar menjadi insan yang dipandang tinggi oleh masyarakat.

 

 

Kho Guik Lan

Pengetua

Sekolah Menengah Chung Hwa, BSB