PERKHEMAHAN PERSEKUTUAN PENGAKAP SEKOLAH MENENGAH CHUNG HWA

Posted by: | Posted on: April 5, 2018

Persekutuan Pengakap Sekolah Menengah Chung Hwa telah mengadakan perkhemahan di kawasan sekolah selama 3 hari 2 malam, iaitu bermula pada 16 hingga 19 Mac 2018. Seramai 26 ahli pengakap bahagian rendah telah menyertai perkhemahan ini dan mendapat pengalaman dan ilmu pengetahuan yang amat bermakna.

Menurut pengetua Sekolah Menengah Chung Hwa, BSB, Dayang Kho Guik Lan, tujuan perkhemahan ini diadakan adalah untuk memberikan peluang kepada mereka untuk menimba pengalaman, kemahiran semasa berkhemah, bekerjasama dalam satu pasukan, membina sifat-sifat kepimpinan serta mengenali rakan sebaya baharu dengan semangat persaudaraan yang kukuh.

Sebelum perkhemahan bermula, para peserta telah diberikan taklimat oleh Cikgu Yong Ken Shung tentang peraturan yang perlu dipatuhi sepanjang perkhemahan. Antara program yang telah diatur dalam perkhemahan ini ialah mendirikan khemah, sesi suai kenal, taklimat peraturan dan kursus pertolongan kecemasan dan pertunjukan fesyen. Cikgu Liew Sie Ping telah menunjukkan cara membalut kecederaan lengan dan para peserta telah diminta untuk mencuba melakukan sendiri. Selain itu, dalam perkhemahan ini juga para peserta juga telah diajar beberapa teknik ikatan tali dan kegunaannya yang disampaikan oleh Cikgu Gino dan Cikgu Lim Hui Yaw.

Para peserta juga berpeluang mengadakan lawatan ke Muzium Alat Kebesaran Diraja untuk mempelajari tentang alat-alat kebesaran Diraja Brunei. Para peserta juga telah melakukan senaman dan aktiviti mendaki bukit di Tasik Lama. Para peserta amat berpuas hati dan seronok dengan aktiviti yang diadakan walaupun mereka berasa penat.

Pada malamnya, para peserta telah diperkenalkan dengan lagu-lagu ketika duduk mengelilingi unggun api oleh Cikgu Kwan Fui San. Antara lagu yang dinyanyikan ialah “Oh,Eppoh Etyetye Eyya”、“Tong Pakitong dan lain-lain lagi. Pada hari terakhir perkhemahan ini, telah diadakan acara senam arobik pada awal pagi. Para peserta telah dinasihati agar sentiasa berdisiplin. Menurut para peserta mereka amat bertuah kerana dapat menyertai perkhemahan yang amat bermanfaat ini dan akan menggunakan pengalaman yang diperolehi dalam kehidupan seharian mereka.

▲ Pertunjukan Kursus Pertolongan Kecemasan oleh para peserta. ▲ Cikgu Yong Ken Shung memberi taklimat tentang peraturan perkhemahan.
▲ Senaman Aerobik. ▲ Latihan Perbarisan.
▲ Cikgu Liew Sie Ping menunjukkan cara membalut luka atau kecederaan. ▲ Gambar kumpulan para peserta perkhemahan.
▲ Pengakap-pengakap belajar cara membalut bagi kecederaan lengan. ▲ Gambar kumpulan pengakap bahagian rendah sebelum bersurai.
▲ Aktiviti kumpulan — “hand knots”.
▲ Kursus belajar ikatan, Cikgu Gino (kanan) dan Cikgu Lim Hui Yao (kiri). ▲ Cikgu Kwan Fui San bergambar dengan tiga orang peserta cemerlang, Onn Wei Zheng (kiri), Tang Wen Xuan dan Clement Kueh (kanan).
▲ “You are the Best” !




Comments are Closed