Murid-Murid Tadika Sekolah Menengah Chung Hwa, Bandar Seri Begawan Melawat Muzium Alat Kebesaran Diraja

Posted by: | Posted on: August 30, 2018

Pada 4 Ogos 2018, Tadika Sekolah Menengah Chung Hwa, Bandar Seri Begawan telah mengadakan lawatan Ke Muzium Alat Kebesaran Diraja. Lawatan ini adalah salah satu aktiviti lawatan sambil belajar murid-murid Tadika yang bertujuan untuk mendedahkan murid-murid Tadika dengan Sejarah Brunei dan melihat dengan lebih dekat lagi Alat-Alat Kebesaran Diraja yang dipamerkan di muzium tersebut. Lawatan ini juga bertujuan untuk memupuk semangat cintakan negara dan menghargai warisan budaya negara Brunei.

Lawatan ini disertai oleh murid-murid Tadika 3 dengan diiringi oleh 17 orang guru Tadika yang diketuai oleh Penolong Pengetua Tadika Dayang Sim Man Ling. Murid-murid Tadika dengan pakaian seragam sekolah dan bertopi telah berjalan kaki dari sekolah menuju ke Muzium Alat Kebesaran Diraja dengan menggunakan jejantas untuk menyeberang jalan. Murid-murid Tadika sangat teruja dan gembira menyertai lawatan tersebut.

Murid-murid Tadika telah melihat sendiri bahan-bahan yang dipamerkan di Muzium Alat Kebesaran Diraja seperti gambar-gambar salasilah raja Brunei, aktiviti-aktiviti yang disertai oleh kerabat-kerabat di raja, alat-alat kebesaran diraja Brunei seperti mahkota, tongkat ajai, singgahsana, keris dan banyak lagi. Di samping itu, murid-murid tadika juga kagum dengan pelbagai pesambah dari pelbagai negara yang turut dipamerkan di muzium tersebut.

Lawatan ini telah memberi pengalaman yang manis kepada murid-murid tadika di samping dapat menambahkan pengetahuan mereka tentang Brunei yang kaya dengan warisan budaya turun-temurun dan mempunyai pemerintah yang berjiwa rakyat.

Menurut Pengetua Sekolah Menengah Chung Hwa, Bandar Seri Begawan, Dayang Kho Guik Lan, lawatan seperti ini adalah digalakkan dan mendatangkan kebaikan kepada murid-murid kerana mereka dapat mempelajari ilmu pengetahuan melalui pengalaman sendiri dan lebih berkesan. Pengalaman mereka semasa menyertai lawatan ini merupakan pengalaman manis yang akan dikenang sehingga mereka dewasa.

▲ Murid-murid Tadika berpegangan tangan menaiki jejantas untuk menyeberang jalan. ▲ Murid-murid Tadika sesi pagi bergambar ramai di dalam Muzium Alat Kebesaran Diraja bersama guru-guru dan penolong pengetua tadika Dayang Sim Man Ling.
▲ Murid-murid Tadika bersama guru-guru mereka bergambar ramai di depan Muzium Alat Kebesaran Diraja. ▲ Murid-murid Tadika sesi petang bergambar ramai di dalam Muzium Alat Kebesaran Diraja.
▲ Kegembiraan jelas tergambar di wajah murid-murid tadika semasa berjalan balik ke sekolah.
▲ Murid-murid Tadika dan guru-guru bergambar kenangan di tangga jejantas.




Comments are Closed